Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Sunday, October 26, 2014

Malaysia sedia perkhidmatan kelas dunia - KSN

PUTRAJAYA: Sistem penyampaian perkhidmatan awam Malaysia meningkat dengan ketara dalam tahun-tahun kebelakangan ini seiring dengan usahanya menyediakan perkhidmatan awam bertaraf dunia, menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat mengikut jangkaan dan permintaan mereka yang semakin meningkat.

Meskipun begitu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata kerajaan mengakui bahawa masih terdapat banyak cabaran dan ruang untuk penambahbaikan dilakukan.
"Sebagai contoh, untuk merapatkan jurang antara aspirasi dasar dan penyampaian perkhidmatan, kami telah meningkatkan pembabitan secara lebih menyeluruh dengan pelbagai pemegang kepentingan, termasuk tenaga kerja dalam perkhidmatan awam.

"Model baharu kerjasama dan perkongsian strategik sedang dibentuk dan zaman (yang menyatakan) 'kerajaan lebih tahu' sudah semakin berlalu dan menjadi sejarah," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sempena persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir Selasa lepas.


Bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu', persidangan yang dinajurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel dihadiri kira-kira 1,500 peserta dari 53 negara.
Bersempena dengan persidangan itu, satu Forum Media Komanwel yang julung kali diadakan dan dihoskan bersama oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama.

Ali juga berkata media sosial semakin banyak digunakan sebagai platform untuk mendapatkan pandangan dan penglibatan lebih meluas daripada komuniti pemegang kepentingan, dan pada waktu yang sama, untuk menyalurkan mesej kepada masyarakat.

 Kita perlu mempunyai penjawat awam yang cekap, mempunyai kemahiran serta pengetahuan diperlukan untuk melaksanakan dasar yang ditetapkan kerajaan.
"Ini bererti kita perlu melabur dalam pembangunan modal insan, melabur dalam pembinaan kemahiran, yang bukan sahaja relevan untuk hari ini, tetapi juga kemahiran baharu yang sedang muncul untuk membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan prestasinya, bukan sekadar melaksanakan proses melangkaui proses tradisional," katanya.

Ali berkata merekayasa organisasi awam juga merupakan suatu keperluan kerana organisasi ini perlu menjadi lebih tangkas dan responsif terhadap keperluan perubahan.
"ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) juga akan terus digunakan dan dimanfaatkan untuk mengurangkan lapisan birokrasi yang begitu terkenal dalam perkhidmatan awam," katanya.
Ali, yang dipilih sebagai Presiden CAPAM yang baharu, berkata persidangan dwitahunan itu adalah wahana yang baik untuk berkongsi amalan terbaik, terutama dengan negara anggota Komanwel yang kaya sejarah dan perkembangan pengalaman.

"Malaysia berasa lebih daripada gembira untuk berkongsi kejayaan dan pada masa yang sama, belajar daripada orang lain," katanya.
Ali mencadangkan CAPAM menyegarkan kembali profil atau jenamanya dalam Komanwel dan di luar lingkungannya, memberi tumpuan terhadap usaha membantu negara-negara anggota yang terdiri daripada negara kepulauan kecil yang sedang membangun.
Tambahnya, CAPAM akan melakukan pendekatan serantau dengan transformasi dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam sebagai bidang tumpuan utama.
Beliau berkata kekuatan utama Komanwel dan CAPAM adalah kemampuannya untuk bersuara dengan satu nada, tanpa mengorbankan kekayaan ciri kepelbagaian yang dimilikinya dan capaian daripada segi geografi.

"Integrasi global menjadikan kita lebih rapat dan keakraban ini sekali gus boleh meningkatkan stres serta juga membuka peluang baharu. Dengan berlandaskan semangat perpaduan dan matlamat yang dikongsi bersama serta untuk memanfaatkan peluang yang ada, kita perlu mencari cara yang bersifat imaginatif, kreatif dan inovatif untuk menggunakan potensi mesyuarat atau persidangan CAPAM serta rangkaiannya untuk meluaskan dan menyuburkan lagi jalinan laman yang kita kongsi bersama," katanya. - BERNAMA
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20