Friday, September 05, 2014

Memantapkan persediaan hadapi UPSR

Program Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 anjuran Kumpulan UMW amat membantu sekolah dalam meningkatkan prestasi akademik murid, kata Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Banting, Mohd. Fadzil Hamdan.
Menurut beliau, pengisian program Pintar UMW ini memantapkan lagi persediaan calon-calon UPSR khususnya menjelang saat-saat akhir menjelang peperiksaan.

"Demi kepentingan murid, program kecemerlangan akademik yang dilengkapi suntikan motivasi ini wajar diteruskan pada masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas tamat program itu di sekolahnya di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 136 murid SK Bandar Banting menyertai program yang pengisiannya melibatkan dua aspek utama iaitu slot motivasi dan bimbingan strategi menjawab soalan dengan berkesan serta sistematik.
Unit Pendidikan Utusan Malaysia, mulai tahun lepas, dilantik oleh Kumpulan UMW sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti tersebut.

Kumpulan UMW melaksanakan program ini di semua sekolah angkatnya di SK Bandar Banting, SK Kati, Kuala Kangsar; SK Batu Laut, Kuala Langat; Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Renggam, Shah Alam dan SJK Cina Moh Ghee cawangan Georgtown, Pulau Pinang.
Dalam tempoh menjadi sekolah angkat selama tiga tahun, setiap sekolah bukan sahaja menerima bantuan dari segi kewangan malah sumbangan juga disalurkan berdasarkan keperluan sekolah antaranya program motivasi atau bengkel latihan pembelajaran.

Slot motivasi untuk program ini dikendalikan oleh Pakar Motivasi dan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain melalui pendekatan yang mengintegrasikan tayangan video, diskusi, penerangan dan kuiz.
Selain menyuntik kata-kata semangat, Dr. Ismail turut menyampaikan tip dan strategi paling efektif ketika mengulang kaji pelajaran di samping menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan peserta.
Sesi teknik menjawab soalan dikendalikan oleh guru pakar bagi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. 

Di bawah program PINTAR, Kumpulan UMW telah membantu lebih 11,000 murid, bermula pada 2007 dengan mengambil dua sekolah angkat di Pulau Pinang dan sejak itu hingga kini sudah menaja 16 buah sekolah termasuk di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
PINTAR atau Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility diperkenalkan tahun 2006 bertujuan memberi peluang syarikat korporat membantu sekolah khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan.

sumber: Utusan Malaysia