Wednesday, September 03, 2014

Kepemimpinan sekolah generasi baru

Kepemimpinan tertinggi institusi persekolahan di seluruh negara akan menyaksikan pengurusan pendidikan yang lebih mantap melalui projek transisi bakal Pengetua/Guru Besar (PGB) dikenali sebagai Program Residency dan Immersion (PRIme).
Program selama 13 bulan ini mengetengahkan PGB Lantikan Baharu untuk menggantikan PGB yang akan bersara atau bertukar dengan hasrat melahirkan pemimpin berprestasi tinggi selaras anjakan kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Selaku institusi yang terbabit secara langsung dalam pelaksanaan fasa ketiga PRIme, Institut Aminuddin Baki (IAB) komited dengan peranan memantapkan keupayaan serta kompetensi pemimpin sekolah menerusi penyediaan kepelbagaian modul.

Pengarahnya Datuk Khairil Awang berkata, PRIme mula diwajibkan dalam proses lantikan dan penempatan PGB pada 1 Julai lalu membabitkan tiga fasa.  

Biarpun ia memfokuskan kepada PGB baru yang memohon dan bukannya lantikan mengikut kesesuaian seperti sebelum ini, pada dasarnya terdapat instrumen untuk menentukan kelayakan, malah tapisan dalam pemilihan termasuk temu duga untuk calon turut dikendalikan.

“Asalkan memenuhi syarat termasuk memiliki sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan untuk Pemimpin Pendidikan (NPQEL), semua pegawai yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan layak memohon.

“Dijangkakan hampir 8,000 pemimpin sekolah akan bersara bermula tahun ini hingga 2025. Ini secara tidak langsung mewujudkan kekosongan yang pastinya bakal diisi oleh PGB berprestasi tinggi lepasan PRIme,” katanya.

Menurut Khairil, dalam PRIme, setiap PGB Lantikan Baharu akan bermula dengan fasa program Residency selama sebulan di sekolah yang akan ditempatkan kelak. PGB yang bakal dilantik menerima bimbingan dan latihan daripada PGB yang akan bersara atau bertukar sebagai satu proses transisi.

Diikuti fasa kedua selama enam bulan di mana PGB Lantikan Baharu akan digandingkan dengan seorang Principal Coach (PC) bagi program Immersion sebaik menjawat jawatan sebagai pemimpin baru di sekolah berkenaan.

“PC terdiri daripada PGB cemerlang dan berpengalaman yang akan memberi bimbingan kepada PGB Lantikan Baharu dalam sembilan bidang pengurusan dan kepimpinan sekolah berdasarkan Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM).

“Bagaimanapun menjelang 2016 tugas PC akan dikendalikan Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartner+) Daerah,”katanya.

Manakala fasa terakhir membabitkan tindakan susulan oleh IAB yang bertujuan memantapkan lagi keupayaan dan kecekapan pemimpin baru ini. Pelbagai instrumen digunakan IAB antaranya pertemuan berkala antara PGB dengan pensyarah IAB termasuk secara dalam talian bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) mereka.

Tambah Khairil, bergantung kepada keperluan sesuatu sekolah seperti sekolah kurang murid, sekolah pedalaman dan sebagainya, kemahiran berbeza perlu diterapkan, justeru, PC juga akan mengikut pengkhususan berkenaan.

Pelancaran PRIme disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap, semalam mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke-21 di IAB cawangan Genting Highlands.

Sumber: Harian Metro