Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Tuesday, September 09, 2014

472,853 murid duduki UPSR 2014 di seluruh negara bermula hari ini

KUALA LUMPUR: Seramai 472,853 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) di Putrajaya hari ini, mengucapkan selamat maju jaya kepada calon berkenaan dan berharap mereka memberi fokus kepada menjawab soalan.

Seramai 1,533 calon mengambil UPSR di 11 sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya manakala 21,455 murid menduduki ujian itu di Kuala Lumpur dan 1,307 orang lagi di Labuan.
Di KUALA TERENGGANU, kerajaan negeri akan memberi insentif khas kepada sekolah yang mencapai sasaran 20 peratus calon mendapat 5A dalam UPSR tahun ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi Ghazali Taib untuk mencadangkan bentuk insentif yang sesuai.Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin pula berkata seramai 21,791 calon menduduki UPSR di 383 pusat peperiksaan di negeri pantai timur itu. 

Di KOTA BAHARU, seramai 32,926 calon menduduki peperiksaan itu 447 pusat peperiksaan yang dipantau 2,232 petugas, kata Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang.
Daripada jumlah itu, 32,220 merupakan calon sekolah kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 418 calon sekolah swasta/persendirian dan 288 calon sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Di IPOH, seramai 38,556 calon menduduki UPSR tahun ini, kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Perak Muhammad Nawawi Yaakob.
Beliau memberitahu Bernama bahawa 876 pusat peperiksaan termasuk 11 pusat peperiksaan sekolah Orang Asli dibuka dengan melibatkan 4,856 petugas.

Di KUANTAN, seramai 25,133 calon menduduki UPSR di 561 pusat di seluruh Pahang melibatkan 561 pusat dengan 2,138 petugas peperiksaan.
Pengarah Pendidikan Negeri Rosdi Ismail berkata seramai 106 merupakan calon berkeperluan khas (CBK) manakala enam yang lain menduduki peperiksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Di MELAKA, 13,780 calon termasuk 89 CBK menduduki UPSR di 244 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu yang melibatkan 1,170 petugas, kata
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin.

Di ALOR SETAR, sebanyak 571 pusat peperiksaan dibuka bagi membolehkan 35,769 murid mengambil peperiksaan itu di seluruh Kedah.
Seramai 21 calon terpaksa menjawab peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan negeri.

Di KUALA PERLIS, seramai 4,110 murid termasuk 10 CBK menduduki UPSR di 77 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu yang melibatkan 349 pengawas peperiksaan, kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN, Azman Ghazali. - BERNAMA



Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20