Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Saturday, April 19, 2014

Iktiraf kepemimpinan sekolah

Shah Alam: Warga pendidik khususnya guru besar diingatkan menguruskan sesebuah sekolah secara berkesan bagi menangani cabaran termasuk memastikan semua sumber di bawah kawalan mereka beroperasi dengan matlamat sama.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keberkesanan pengurusan sesebuah sekolah perlu dilaksanakan sejajar dengan keperluan dan persekitaran semasa terutama hasrat rakyat dan aspirasi sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, penganugerahan insentif anugerah Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) 2013 berjumlah RM23.2 juta bertujuan mengiktiraf kepemimpinan sekolah yang berkesan bagi menghasilkan matlamat seperti dihasratkan kerajaan.
Menurutnya, bagi 2013, sebanyak 566 sekolah dan 622 guru besar dan lapan guru penolong kanan melepasi saringan termasuk memperoleh sijil audit tanpa teguran serta tiada kes tata tertib.
“Daripada jumlah itu, 209 daripadanya adalah sekolah bandar, sekolah luar bandar (302) dan sekolah pedalaman (55).


Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun 2012 iaitu 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar menerima anugerah berkenaan.
“Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang menerima anugerah itu juga meningkat daripada 54 kepada 74 sekolah, begitu juga dengan SJK Tamil yang turut berlaku peningkatan penerima anugerah daripada 45 kepada 54 sekolah,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Tawaran Baru Guru Besar Tahun 2013, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, daripada keseluruhan penerima anugerah TBGB, 119 sekolah menerima anugerah empat kali berturut-turut.

“Saya ingin menarik perhatian tuan puan dengan kejayaan satu-satunya sekolah Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Tasik Chini, Pekan, Pahang pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya, dijangkakan seramai 22,063 warga sekolah terdiri guru besar, guru serta anggota kumpulan pelaksana akan mendapat manfaat daripada ganjaran berkenaan.
Katanya, mulai tahun ini, pembayaran ganjaran akan diperluaskan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Pegawai Perkhidmatan Negeri yang berkhidmat di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Anugerah tawaran baru ini adalah indikator utama ke arah pembentukan modal insan holistik yang diharapkan mampu berdepan cabaran abad ke-21.
“Sesungguhnya kejayaan ini melambangkan kebolehan tuan-tuan dan puan-puan memberi inspirasi kepada warga sekolah.

Bagi Kementerian Pendidikan, saya mengharapkan kejayaan ini menyuntik semangat untuk melipatgandakan usaha untuk memperkukuhkan dan meningkatkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya.


Sumber: Harian Metro
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20