Wednesday, March 26, 2014

YPPB tawar biasiswa lepasan SPM, STPM

KOTA KINABALU - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) mempelawa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2013 memohon biasiswanya di bawah program Peneraju Tunas Potensi.

YPPB dalam satu kenyataan berkata biasiswa itu terbuka kepada semua pelajar bumiputera.

"Bagi memantapkan lagi usaha ini, YPPB telah mewujudkan beberapa program teras yang merangkumi program-program akademik, kemahiran dan profesional yang merangkumi aspek kepimpinan.

"YPPB dengan kerjasama Kolej Yayasan Sabah (KYS) akan berada di pusat membeli-belah di Suria Sabah dari 29 hingga 30 Mac ini melalui Karnival Pendidikan Mara," kata kenyataan itu.

YPPB merupakan inisiatif di bawah Hala Tuju Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertumpu untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan.

Untuk maklumat lanjut mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang YPPB di http://www.penerajuedu.com dan tarikh tutup permohonan ialah pada 12 tengah hari, 6 April ini. - Bernama