Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Wednesday, February 05, 2014

Teruja ke sekolah

 5/2/2014
Kota Bharu: “Saya teruja untuk memakai seragam sekolah baru selepas kali terakhir memakainya empat tahun lalu kerana kami hanya memakai pakaian harian biasa ketika bersekolah di Sweden,” kata Aisyah Azizul Raheem, 15, anak sulung empat beradik pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden ketika membeli pakaian sekolah di Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Aisyah berkata, dia memakai seragam sekolah ketika tinggal bersama keluarganya di Afrika Selatan pada usia 11 tahun.
“Saya akui berasa sedikit kekok mencari pakaian sekolah selepas kali terakhir berbuat demikian empat tahun lalu.

 
“Bagaimanapun, saya tetap gembira dapat pakaian baru dan tidak sabar untuk memulakan persekolahan,” katanya.
Aisyah berkata demikian ketika dia bersama adiknya, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8, ditemani ibu saudaranya, Shaleena Norshal, 42, meluangkan masa lebih sejam membeli peralatan sekolah termasuk pakaian dan kasut di sebuah pasar raya, di sini.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan Jabatan Pendidikan Kelantan menyerahkan surat penempatan sekolah kepada empat beradik itu untuk memulakan sesi persekolahan di negeri itu pada bila-bila masa.
Aisyah dan Ammar akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala, manakala Adam dan Arif akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala.
Sementara itu, Shaleena berkata, empat beradik itu akan memulakan sesi persekolahan Ahad ini.
Katanya, kini mereka membantu dalam menyediakan persiapan persekolahan kanak-kanak itu termasuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan.
“Setakat ini, urusan persekolahan empat anak saudara berjalan lancar dan masing-masing kelihatan gembira,” katanya.
Katanya, pihak sekolah ada menemuinya dan memberi jaminan akan menempatkan anaknya, Nik Muhammad Afieq Nik Ahmad Farid, 15, bersama Aisyah dalam kelas sama bagi membantu dari segi komunikasi.
“Manakala, anak saya yang berada dalam tahun empat, Nik Muhammad Akid akan membantu Adam dan Arif di sekolah rendah,” katanya.
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20