Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Monday, February 04, 2013

Nazmi sudah ‘turun darjat’

FotoKuala Lumpur: Keputusan mengejut bekas pemain SC Beira Mar, Nazmi Faiz Mansor kembali ke Malaysia tanpa penjelasan kukuh, mengundang rasa kecewa dua bekas pemain negara yang pernah berkelana di luar negara.
Mohd Fadzli Saari serta Juzaili Samion yang pernah beraksi di kelab Jerman, SV Wehen pada awal 2000 dan kini menghabiskan sisa-sisa karier mereka dengan beraksi di kancah Liga Malaysia, jelas tidak bersetuju dengan keputusan pemain berusia 19 tahun itu.

Bagi Mohd Fadzli yang kini beraksi bersama Sime Darby FC, jika benar Nazmi mengambil keputusan sendiri untuk pulang ke Malaysia, ia bukanlah keputusan tepat.
“Saya tidak pasti apa alasan sebenar Nazmi, tetapi berdasarkan laporan media, dia sendiri yang buat keputusan untuk pulang dan mungkin itu keputusan yang terbaik baginya.

“Tapi, bagi saya (keputusan Nazmi) itu merugikan kerana dia sudah dapat peluang dan difahamkan mengikat kontrak tiga tahun. Dia baru beberapa bulan di sana dan banyak lagi yang boleh dipelajari jika terus kekal.

“Tidak kisah jika tidak dapat beraksi dalam pasukan utama, asalkan dia mendapat latihan dan pengalaman yang saya anggap cukup berharga kerana tidak akan diperoleh di sini. Peluang itu pasti akan datang, tapi segala-galanya memerlukan kesabaran.
NAZMI ketika menandatangani kontrak bersama kelab Portugal.
“Saya pernah saksikan sendiri dia bermain dan secara jujur, saya memang mengagumi Nazmi kerana bakatnya cukup luar biasa. Saya yakin satu hari nanti dia pasti menyerlah,” katanya.

Bagi Juzaili, dia bersetuju dengan pendapat jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang kecewa dan kurang bermotivasi untuk menghantar pemain muda beraksi ke luar negara bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Dia pergi bawa harapan jutaan rakyat Malaysia yang mahu lihat kejayaan pemain negara di pentas tertinggi.

“Bukan senang nak dapat tawaran seperti ini dan pemain berkenaan kena terima setiap cabaran. Jadi keputusan pulang ke Malaysia boleh memberi kesan dan mungkin minat ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka bermain bola semakin berkurangan,” katanya.

Nazmi menerusi sidang media kelmarin menyatakan dia sendiri membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia dan memilih untuk menyertai PKNS FC yang kini beraksi dalam kancah Liga Super.

Namun jawapan pemain itu kurang meyakinkan apabila mengakui membuat keputusan itu secara mengejut dan tidak dijangkakan.

Sumber: Harian Metro
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20