Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Thursday, February 14, 2013

1,200 polis kawal stadium

Imbas kembali perlawanan Selangor bertemu Kelantan dalam saingan Liga Super, musim lalu.
Petaling Jaya: Seramai 1,200 anggota polis akan ditempatkan di luar dan dalam Stadium Shah Alam, bagi mengawal keselamatan penyokong ketika pertembungan yang dijangka panas antara Selangor dan Kelantan pada aksi Liga Super, malam esok.

Langkah itu juga diambil untuk mencegah daripada tercetus sebarang kejadian tidak diingini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata untuk perlawanan berprofil tinggi seperti ini, kawalan keselamatan disediakan sama seperti perlawanan akhir.


Di atas padang pula, kami sudah beri amaran kepada pemain dan pegawai supaya menjaga tingkah laku mereka, katanya ketika ditemui di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.

Kelantan agak hambar

Mengenai peluang Selangor, beliau berkata, semangat membara selepas menewaskan Sabah 3-0 di Kota Kinabalu, petang kelmarin untuk muncul pasukan pertama mara ke suku akhir Piala FA perlu diteruskan skuad The Red Giants.

Beliau berkata, tiga mata penuh perlu diraih barisan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu yang kini berada di tangga ketiga kerana Kelantan belum menemui rentak sebenar apabila sekadar menghuni tangga ketujuh liga.
Kelantan nampak bermula agak hambar musim ini apabila hanya menang sekali selepas lima perlawanan tetapi sudah tentu mereka mahu bangkit semula apabila saingan kembali bersambung minggu ini.

Kekal kelompok teratas

Cuma bagi saya, Selangor sendiri tiada pilihan lain kecuali meraih tiga mata penuh ke atas Kelantan kerana kami beraksi di laman sendiri di samping perlu memanfaatkan sepenuhnya keadaan Kelantan yang bermula agak perlahan musim ini.

Saya mahu pemain tidak melepaskan peluang ini kerana kami perlu menjarakkan jurang mata untuk kekal di kelompok teratas liga.

Teruskan momentum dan moral tinggi selepas berjaya menewaskan Sabah 3-0, katanya.

Tiket perlawanan RM15 dewasa dan RM5 kanak-kanak akan dijual di kaunter stadium bermula jam 9 pagi esok.

Sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20