Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Saturday, February 04, 2012

Tabung Haji agih bonus 6 peratus


PUTRAJAYA: Seramai 6.96 juta pendeposit Tabung Haji akan menikmati bonus enam peratus bagi tahun lalu, naik 0.5 peratus berbanding tahun 2010.
Peningkatan bayaran bonus itu berikutan kejayaan Tabung Haji mengekalkan prestasi kewangan dengan mencatatkan pendapatan melebihi RM2 bilion untuk tahun kedua dengan keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion kali kelima berturut-turut sejak 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bonus itu akan mula dibayar Rabu depan. “Bonus berjumlah RM1.67 bilion daripada keuntungan tahun semasa itu meningkat 25 peratus berbanding bonus pada 2010, iaitu RM1.33 bilion,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah Tabung Haji, di sini semalam. Turut hadir timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Mengenai perbelanjaan operasi Tabung Haji, Jamil Khir berkata ia terkawal walaupun ada peningkatan ketara akibat kenaikan kos tanggungan menunaikan haji berjumlah RM105 juta pada 2011 berbanding RM65 juta tahun sebelumnya. “Ini menggambarkan pelaburan Tabung Haji sudah menghasilkan pulangan baik dan perbelanjaan operasi dapat dikawal secara berhemat,” katanya. Beliau juga menjelaskan kadar bonus Tabung Haji adalah kompetitif kerana profil pelaburan TH terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah saja, tetapi mampu memberikan tambahan 0.5 peratus daripada bonus 2010 sebanyak 5.5 peratus.

Pada majlis itu Jamil Khir juga menyerahkan sumbangan RM20,000 daripada kariah empat masjid kepada Menteri/Ketua Timbalan Misi Kedutaan Thailand, Songsuk Saicheva bagi membantu mangsa banjir di negara itu. Ditanya mengenai tuduhan PAS bahawa beliau menggunakan wang peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di Parlimen Jerai, Kedah, Jamil Khir menafikannya sambil menjelaskan bantuan bukan menggunakan wang yayasan berkenaan, sebaliknya ia hanya helah politik pembangkang untuk menimbulkan persepsi buruk terhadapnya.

“Penubuhan Yayasan Taqwa untuk memberi bantuan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu dan Kelantan, baru-baru ini. Jadi, dakwaan ini tidak betul dan kononnya saya gunakan duit yayasan di kawasan saya. “Ini pendekatan yang tidak amanah dan pertarungan politik yang tidak ambil kira sama ada betul atau tidak tetapi hanya untuk timbulkan persepsi (buruk) saja,” katanya. Beliau berkata, antara bantuan yang diberikan adalah mesin rumput, pam racun dan pelbagai bantuan lain kepada penduduk di kawasan yang kononnya didakwa akan ditandinginya. Kelmarin, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jamil Khir menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di kawasan Parlimen Jerai.

Sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20