Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Monday, January 02, 2012

Ubat RM1 juta ditemui semula


Kakitangan HKL tunjuk lokasi bekalan disembunyikan sebelum dijual KUALA LUMPUR: Pelbagai ubat bernilai RM1 juta yang dilaporkan hilang dari stor simpanan Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 24 Disember lalu ditemui disembunyikan di sebuah premis di Jalan Duta di sini, malam kelmarin dipercayai dalam proses untuk dijual di pasaran gelap. Penemuan semula ubat penyakit berkaitan saraf itu susulan soal siasat ke atas dua kakitangan HKL berusia 20-an dan 30-an yang ditahan, Khamis lalu, sehari selepas laporan polis dibuat berhubung kehilangan ubat berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata bekalan ubat itu ditemui selepas suspek membawa polis ke lokasi disembunyikan jam 7 malam kelmarin.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan sindiket dalam kes ini dan sejak bila ia berlaku. “Kita juga sedang melakukan pemeriksaan sama ada semua ubat yang hilang ditemui atau sebahagian saja,” katanya ketika dihubungi semalam. Berita Harian semalam mendedahkan kehilangan dua kotak mengandungi pelbagai ubat bernilai RM1 juta dari stor simpanan ubat HKL yang didalangi dua kakitangan Jabatan Farmaseutikal hospital itu yang dipercayai dilarikan pada malam sambutan Hari Krismas, 24 Disember lalu. Bekalan ubat itu yang diimport dikatakan baru tiba di stor berkenaan, malah belum sempat direkodkan dan kehilangan hanya disedari empat hari selepas kakitangan farmasi melakukan kerja merekod. Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan berkhidmat lebih dua tahun di HKL, malah mereka dipercayai mencuri bekalan ubat itu sedikit demi sedikit bagi mengelak kegiatan dihidu. Beliau ketika mengulas lanjut, berkata hasil siasatan setakat ini tidak menolak kemungkinan kegiatan itu sudah lama berlaku, namun tidak disedari kerana dilakukan secara terancang, selain membabitkan kerja berkumpulan. Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan dan mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Bakri percaya kegiatan itu didalangi sindiket menggunakan ‘orang dalam’ HKL sebelum bekalannya dijual di pasaran gelap khususnya klinik persendirian. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian berkenaan selepas siasatan selesai. “Ia sudah menjadi kes jenayah dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20