Monday, January 23, 2012

‘Penyamun online’ kaut RM500,000

MELAKA: Bermodalkan kepakaran menggodam Internet, ‘penyamun online’ dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM500,000 dalam tempoh dua bulan daripada sebuah syarikat pengeluar jubin apabila dapatmemintas urusan perbualan syarikat itu bersama pelanggannya dalam Internet.

Perkara itu hanya terdedah kelmarin apabila pengarah urusan syarikat berkenaan, Lim Boon Choy, 46, hairan apabila pelanggannya dari Vietnam, Thailand, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Denmark masih belum membuat bayaran penghantaran jubin sudah diterima mereka sejak Disember lalu.

Menurutnya, dia menghubungi wakil syarikat itu menerusi telefon di negara berkenaan kerana masih belum mendapat sebarang bayaran walaupun semua bekalan diminta sudah dihantar.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila pelanggannya menyatakan semua bayaran sudah lama dibuat menyebabkannya hairan dan menafikannya.


“Bagi membuktikan bayaran dibuat, pelanggan kami menghantar salinan slip pemindahan telegrafik dan transkrip perbualan menerusi ‘chatting’ antara wakil syarikat dengan pekerja mereka yang menunjukkan syarikat kami ada meminta bayaran dibuat tetapi perlu dimasukkan ke dalam akaun bank lain.


“Saya terkejut dan menafikan perbualan menerusi perisian ‘chatting’ popular itu dan tidak menyangka urusan yang tidak pernah ada masalah sejak hampir tiga tahun lalu itu ditimpa bala seperti ini.

“Mereka (pelanggan) turut terkejut apabila diminta membuat bayaran segera dan secara tergesa-gesa ketika perbualan menerusi ‘chatting’ itu, kerana sebelum ini kami tidak pernah bertindak demikian,” katanya, di sini, semalam.

Sumber: Harian Metro