Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Sunday, January 22, 2012

Lebuh raya sesak teruk


KUALA LUMPUR: Hampir semua lebuh raya di Semenanjung sesak teruk semalam apabila ribuan kenderaan berpusu-pusu meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman di utara, selatan dan pantai timur untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Lebuhraya Utara-Selatan arah utara sesak seawal jam 8 pagi, terutama dari Subang ke Bukit Tagar, apabila warga kota memulakan perjalanan dan berlarutan hingga malam tadi.


Berdasarkan maklumat Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan makin panjang pada jam 1 tengah hari bermula dari susur Sungai Buloh hingga Tanjung Malim. Trafik juga bergerak perlahan dari Slim River hingga Sungkai dan dari Tapah hingga ke Gopeng.

Laluan antara Tapah ke Gopeng sesak berikutan pengguna lebuh raya berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelum memulakan perjalanan.


Trafik juga perlahan sepanjang laluan lapan kilometer dari Bukit Tambun hingga ke Juru akibat kemalangan membabitkan dua kenderaan.


Bagi laluan menuju ke selatan, trafik sesak bermula di susur Putra Mahkota hingga ke Seremban sejak jam 1 tengah hari berpunca daripada satu kemalangan di Kilometer (KM) 284.

Aliran trafik seterusnya bergerak perlahan di kedua-dua arah antara Ayer Keroh dan Tangkak dan selain kesesakan di Plaza Tol Skudai hingga ke Kulai Jaya.


Laluan antara Yong Peng ke Pagoh (arah utara) pula sesak lebih lima kilometer berikutan kemalangan dua kereta, jam 5 petang.

Sementara itu, laluan ke pantai timur juga bergerak perlahan bermula dari KM29 Plaza Tol Gombak hingga KM55 ke Bukit Tinggi. Bagi melancarkan perjalanan, laluan kontra (lorong tambahan) dibuka bermula dari KM32 hingga KM38 membabitkan laluan dari Terowong Karak hingga ke Genting Sempah.


Selain itu, aliran trafik di Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak terus meningkat bermula jam 1 tengah hari namun bergerak lancar.


LLM menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim perayaan ini.

Sumber: Harian Metro

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20