Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Tuesday, December 27, 2011

Jual harta demi cinta Mat Afrika

KUALA LUMPUR: Tidak semua wanita yang menjalin hubungan dengan warga Afrika atau lebih dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ diberikan kemewahan, sebaliknya ada antara mereka yang papa gara-gara dikikis golongan licik berkenaan.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Imam Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek (gambar) berkata, pihaknya sendiri pernah menerima kes membabitkan wanita yang kehilangan rumah dan harta benda lain akibat terpedaya dengan cinta palsu Awang Hitam.


Menurutnya, perkara itu jelas menunjukkan kesan negatif bakal dilalui mangsa yang tidak hanya terhad sebagai hamba seks mahupun pukul, sebaliknya wang ringgit juga mampu habis dikerjakan lelaki berkulit hitam itu.

“Dalam satu kes yang kita terima, seorang wanita warga emas sanggup menjual asetnya termasuk rumah hanya kerana terpedaya dengan janji manis Awang Hitam yang dikenali menerusi Internet. Lelaki itu konon akan berkahwin selepas wang yang mahu dilaburkan dalam perniagaan jongkong emas bernilai jutaan ringgit dipindahkan kepada wanita berkenaan.


“Ini yang kita risaukan kerana wanita terlalu cepat tertipu. Semua kegiatan Awang Hitam yang sudah dibongkar sepatutnya dijadikan iktibar supaya tiada lagi wanita tempatan tidak kira bangsa apapun terperangkap dengan tipu helah mereka,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, susulan kes berkenaan, beliau menasihatkan orang ramai khususnya wanita berhati-hati ketika berurusan dengan warga Afrika walau dalam apa keadaan sekalipun.

Sementara itu, Pakar Motivasi, Prof Izzi Ali menasihatkan wanita di negara ini tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan limpahan kemewahan ditawarkan Awang Hitam berikutan punca wang itu masih belum jelas.


“Selidik dulu latar belakang mereka, jangan terlalu percaya dengan apa yang mereka katakan walaupun secara lahiriah ia nampak betul. Paling penting, berpegang pada agama supaya diri tidak mudah tergelincir lebih-lebih lagi ke lembah maksiat,” katanya

Sumber: Harian Metro
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20