Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Wednesday, November 23, 2011

RM300 juta kendali pilihan raya umum ke-13


MELAKA: Kos mengendali pilihan raya umum ke-13 nanti dijangka mencecah RM300 juta berbanding RM200 juta bagi pilihan raya umum yang lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata, anggaran itu adalah sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara serentak di semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang kini dikuasai pembangkang.
"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan untuk proses pilihan raya umum akan datang ialah pertambahan bilangan pemilih serta peralatan-peralatan bantuan seperti kotak undi, penindik dan kenderaan," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum ke-13 di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, langkah melaksanakan undi pos di luar negara juga menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan proses pilihan raya akan datang kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Beliau berkata, SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya AS$10 bagi kos penghantaran untuk seorang pengundi pos di luar negara.

Abdul Aziz berkata, setakat ini, semua perancangan yang dilakukan termasuk Taklimat Pegawai dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah di peringkat awal dan proses berkenaan memerlukan perancangan rapi dan teratur.

"Saya ingin menyatakan bahawa persediaan ini merupakan persediaan yang sangat awal di mana daripada segi peratusan perkembangan penyediaan ke arah proses pilihan raya adalah sangat kecil.
"Maknanya kita masih dalam proses penyediaan belanjawan dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata, SPR juga merancang beberapa pembaharuan berhubung proses pilihan raya di negara ini tetapi ia masih di bawah penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambah baikan proses pilihan raya.

Pembaharuan itu membabitkan penamaan calon, undi awal, undi pos, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, penggunaan dakwat kekal dan bahan kempen. - BERNAMA
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20