Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Monday, November 28, 2011

Jawatan JUSA, Turus akan diubah

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Skim jawatan utama atau premier perkhidmatan awam, peringkat JUSA dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Dengan cadangan itu bermakna, mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian.

KSU yang berada dalam kategori JUSA tertinggi dan Turus adalah sama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pengisian jawatan-jawatan tertinggi itu akan mengambil kira kouta berdasarkan kaum.

Satu taklimat kepada pegawai-pegawai peringkat utama dan ke atas telah dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minggu lalu.

Difahamkan ia adalah sebahagian daripada program transformasi dalam perkhidmatan awam. Di bawah program itu Skim Saraan Malaysia (SSM) akan diganti dengan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA).

Menurut satu sumber, di bawah sistem baru itu, kemasukan kakitangan untuk kategori itu akan dilakukan secara lateral.

Buat sementara, difahamkan lima buah kementerian telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kaedah itu.

Dalam pada itu, Utusan juga difahamkan di bawah program itu, kesemua KSU akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula secara kontrak. Prestasi mereka akan dinilai dalam tempoh kontrak tersebut.

Dalam proses ini, menurut sumber itu, pihak dalam dan luar daripada perkhidmatan awam juga boleh memohon untuk mengisi jawatan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20