Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Thursday, November 24, 2011

Ikan darat rezeki musim tengkujuh


RANTAU PANJANG: Kedatangan musim tengkujuh membawa limpahan rezeki kepada sesetengah penduduk berikutan kemunculan ikan air tawar yang dibawa air bah.

Ikan air tawar atau dikenali ‘ikan darat’ seperti lambak, keli, puyu, haruan dan baung memberikan sumber pendapatan sampingan bagi yang gemar mencarinya memandangkan ia sangat digemari orang ramai.
Che Ali Che Daud, 50, tidak pernah melepaskan peluang menjala ikan pada musim tengkujuh menganggap aktiviti berkenaan sebagai pekerjaan sambilan bagi menampung hidup keluarga selepas tidak dapat menoreh getah pada ketika ini.
“Bila tiba musim hujan, saya pasti akan turun ke sungai bagi menjala ikan darat dan hasilnya terus dijual di tepi jalan.

“Musim ini, ikan laut susah didapati dan ikan darat menjadi pilihan untuk dijadikan hidangan, tambahan pula ia mudah diperoleh,” katanya yang berasal dari Kampung Gual Mesa, di sini.

Che Ali mengakui waktu paling menyeronokkan sepanjang menjalankan aktiviti itu ialah pada musim banjir kerana permintaan terhadap ikan darat akan meningkat berbanding musim biasa.

“Kalau hendak dibandingkan dengan hari biasa, pada musim banjir ramai yang cari ikan darat dan pembeli juga bertambah pada musim ini. Memang pada musim banjir ramai yang cari ikan darat. Bolehlah untung sikit-sikit,” katanya yang turut mengajak tiga anak lelakinya turut serta.
Biarpun pelbagai cara dilakukan dalam menangkap ikan darat seperti menahan pukat, bubu atau candat, tetapi Che Ali lebih berminat menggunakan jala.

Katanya, jala yang digunakannya juga mencecah harga antara RM250 hingga RM450 serawan dan digunakan bagi menangkap spesies ikan darat berlainan.

“Walaupun jala mahal, ia tetap balik modal jika digunakan untuk menangkap ikan pada musim banjir,” katanya.

Sementara itu, bagi Jalil Wahab, menangkap ikan pada musim tengkujuh bukan saja memberi pulangan kepada pencarinya, malah memberi pendapatan sampingan kepada peraih di samping memudahkan penggemarnya mendapatkan bekalan ikan darat.

Jalil mengakui, jika dulu ikan darat hanya popular dalam kalangan penduduk kampung, tetapi tidak lagi kini kerana ia menjadi menu alternatif bagi kebanyakan masyarakat tanpa mengira latar belakang.


Sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20