Saturday, November 26, 2011

Fakri janji robek gawang Bahrain


KUALA LUMPUR - Kritikan 'pedas' peminat dalam laman sosial Facebook sedikit pun tidak menjejaskan azam penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang Bahrain pada aksi Kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok .

Malah, Fakri menegaskan, semangat dan keyakinannya berada pada tahap terbaik meskipun dihujani pelbagai tohmahan terutama selepas aksi menentang Syria, Rabu lalu.

Tambah Ahmad Fakri, perlawanan menentang Bahrain lebih penting buat dirinya dan negara berbanding melayan semua kritikan tersebut.

"Saya memang tak kisah apa yang mereka mahu kata, mulut orang lambat laun akan penat dan berhenti tapi kalau tak mahu berhenti juga saya akan ambil semua itu sebagai sesuatu yang positif buat saya.

"Apa yang mereka katakan pada saya itu tidak langsung menjejaskan diri saya malah semangat saya berada pada tahap yang terbaik kini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam.

Meskipun skuad Harimau Muda memperoleh kemenangan menjinakkan Indonesia melalui penentuan sepakan penalti, namun Ahmad Fakri tetap dikritik oleh peminat selepas mempamerkan persembahan kurang memberansangkan apabila kerap terlepas peluang menjaringkan gol.

Malah, pada perlawanan menentang Syria, Rabu lalu, pemain berusia 22 tahun itu juga seakan sukar menemui sentuhan terbaiknya.

Bagi mengubati kekecewaan peminat, Ahmad Fakri berjanji untuk memberikan 100 peratus komitmennya pada perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pemain itu juga tidak mahu episod duka buat dirinya ketika menentang Indonesia Isnin lalu berulang kembali.

"Memang setiap perlawanan saya akan memberikan sepenuhnya apa yang ada dan kawan-kawan yang lain juga mampu berikan persembahan terbaik nanti.

"Sasaran utama saya pada perlawanan Ahad ini adalah untuk mendapatkan gol dan itu semua bergantung kepada rezeki dan usaha saya," kata Ahmad Fakri.

Sumber: Utusan Malaysia