Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Monday, September 26, 2011

KSSR bakal diperluas

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk murid tahun satu bermula sesi persekolahan Januari lalu menunjukkan perkembangan positif selepas ia meningkatkan minat mereka mempelajari mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pelajaran, Profesor Dr Khair Mohamad Yusof, berkata menerusi sukatan pelajaran yang menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) itu, pelajar lebih seronok kerana ia menekankan pendekatan belajar secara interaktif dan tidak bergantung buku teks semata-mata.


“Malah, kebanyakan guru gembira dengan pendekatan mendidik sambil berhibur yang diperkenalkan dalam KSSR kerana ia bukan saja mementingkan penguasaan bahasa, tetapi juga cara berkomunikasi.

“Selain menggunakan buku, guru menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran lain seperti permainan dan muzik ketika mengajar bahasa Inggeris,” katanya, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan kira-kira 35 guru dari Selangor yang menyertai Konvoi Bermotor 1Malaysia dari Shah Alam ke pekarangan Kementerian Pelajaran.


KSSR yang baru diperkenalkan itu memfokuskan empat teknik pembelajaran dikenali 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan menaakul (keupayaan berfikir secara kritis, kreatif, menilai dan menganalisis).

Dengan kurikulum berbentuk modular itu setiap murid berpeluang melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri.


Malah, ia memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang dapat menyerlahkan potensi pelajar, selain menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.

Dr Khair berkata, sebagai susulan kurikulum berkenaan akan diperkenalkan untuk murid tahun dua di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu di sekolah menengah mulai tahun depan.


Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Mengajar Bahasa Inggeris Malaysia, Dr S Ganakumaran yang mendakwa kurikulum bahasa Inggeris di sekolah ketinggalan zaman, beliau berkata kenyataan Ganakumaran tidak merujuk kepada KSSR.


“Beliau mungkin merujuk kepada kurikulum lama iaitu kaedah pembelajaran yang lebih tradisional.


“Namun, sekarang kementerian sudah memperkenalkan kurikulum baru iaitu KSSR yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20