Monday, July 04, 2011

Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

TAIPING: Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung meriah tepat jam 7.45 pagi di 9,980 sekolah di seluruh negara semalam diiktiraf sebagai larian serentak terbesar pernah dianjurkan di negara ini membabitkan penyertaan kira-kira 4,137,126 murid dan pelajar.

Pelancarannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Padang Majlis Perbandaran Taiping itu sekali gus dimuatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai larian serentak terbesar di bawah kategori pelajar sekolah.


Rekod itu sekali gus mengatasi larian serentak terbesar yang pernah direkodkan MBR sebelum iaitu larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada 2000 membabitkan penyertaan 2.3 juta peserta.

Larian sejauh 1.5 kilometer (km) itu turut dijalankan serentak di 28 buah institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah kolej matrikulasi di seluruh negara.


Pada majlis pelancaran itu, kira-kira 15,000 peserta larian mewakili 30 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah dari daerah Larut, Matang dan Selama berbangga menjadi sebahagian daripada rekod baru itu.


Memeriahkan larian itu, Muhyiddin bersama bersama tetamu kehormat lain termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud turut berlari sejauh 1.8 km bersama 1,000 peserta awal, termasuk murid kelas pendidikan khas.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, sukan adalah satu platform dalam pembentukan sahsiah murid di samping memupuk semangat integrasi selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi 1Malaysia.


Beliau berkata, program itu diharap bakal menjadi pemangkin kepada pembudayaan sukan di kalangan semua murid di sekolah untuk sepanjang tahun.

sumber: Harian Metro