Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Monday, July 04, 2011

46 pelajar sertai larian kena sengat tebuan

KOTA BHARU: Seramai 46 pelajar dan murid di dua sekolah di sini, cedera akibat disengat tebuan ketika menyertai Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia, di Bachok, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak, Bachok dan 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Badak, Bachok, dikatakan sedang berlari di kawasan belakang dua sekolah yang terletak berhampiran itu.
Ketika melalui kawasan bersemak di belakang sekolah itu, dipercayai salah seorang terpijak sarang tebuan yang berada dalam semak berkenaan, sebelum menyerang kumpulan itu.
Ada pelajar dan murid yang lebam pada beberapa bahagian badan disengat tebuan itu terpaksa menerima rawatan segera di klinik berhampiran manakala selebihnya dibawa menerima rawatan lanjut ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, sehingga tengah hari semalam, 13 mangsa termasuk lapan perempuan masih menerima rawatan di hospital itu dan kebanyakannya mengalami lebam pada bahagian badan dan muka.

“Semua mangsa dilaporkan stabil dan mereka keluar hospital pada hari ini juga (semalam),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Hafizullah Zakarul Zawawi, 10, dari SK Badak, berkata sebelum kejadian itu, beliau bersama dua lagi rakannya yang menyertai larian itu sudah hampir tiba di sekolah sebelum ada rakan lain menjerit memberi amaran mengenai serangan tebuan tanah.
“Sebaik melihat ramai yang berlari menyelamatkan diri selepas dikatakan tebuan menyerang, saya bertindak terjun ke dalam parit berdekatan untuk menyelamatkan diri.

“Namun, nasib tak menyebelahi saya kerana disengat tebuan pada lengan, tengkuk serta belakang," katanya ketika ditemui di HRPZII, di sini, semalam.

Katanya, selepas kejadian itu, beliau dipapah beberapa pelajar SMK Badak apabila melihat keadaannya yang lemah, sebelum dibawa guru ke Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan.

Rakannya, Wan Mohd Farid Firdaus Wan Ismail, 10, berkata beliau disengat tebuan di kepala, belakang dan tangan serta paha.

“Di kepala saya kena tiga sengatan, manakala dua di belakang dan masing-masing satu di tangan serta paha dan masih terasa sakit, namun kini sudah sihat selepas menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Zahari Daud, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya akan menjalankan siasatan bagi memastikan puncanya.

Sumber Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20