Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Wednesday, June 08, 2011

Kazakhstan jadikan Malaysia sebagai ‘guru‘

ASTANA, Kazakhstan 7 Jun – Kepada pemimpin Kazakhstan, nama Malaysia begitu dekat di hati mereka.

Semuanya ini hasil daripada hubungan akrab yang dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melawat negara Asia Tengah itu pada tahun 1996.

Hasilnya, Kazakhstan menjadikan Malaysia sebagai ‘guru‘nya dalam membangun dan memajukan negara yang kesembilan terbesar di dunia itu.

Ada tiga ‘buah tangan’ Malaysia terdapat di Kazakhstan.

Pertama:bandar raya terancang dengan bangunan unik di Astana yang mengikut acuan pembangunan di Putrajaya, kedua, menara di Astana juga menjadikan Menara Kuala Lumpur sebagai contohnya; dan ketiga, dasar pengswastaan Malaysia dijadikan dasar kepada kerajaan Kazakshtan.

Cerita kejayaan dan pengalaman Malaysia mengharungi kemelut ekonomi sehingga ditiru oleh Kazakhstan diberitahu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau memberitahu betapa jenama Malaysia laku di Kazakhstan kepada wartawan Malaysia di King Hotel Astana di sini hari ini.

Lawatan bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara tersebut, katanya, sudah pasti akan melonjakkan lagi kerjasama ekonomi di antara kedua-dua buah negara yang akrab dan bersahabat itu.

Katanya, banyak syarikat telah menyatakan minat melabur di sini dan tujuh perjanjian ditandatangani antara kedua-dua syarikat dalam pelbagai bidang.

Sudah tentulah, katanya, ia akan membuka jalan ke arah meluaskan lagi skop ekonomi Malaysia-Kazakhstan.

Dalam pada itu, beliau percaya industri pelancongan juga dapat ditingkatkan apabila terdapat penambahan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Almaty.

Syarikat penerbangan Malaysia, katanya, perlu menerokai peluang-peluang yang terdapat di Kazakhstan ini. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20