Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Tuesday, May 31, 2011

Masalah pelajar terbaik diatasi


Kerajaan tambah kursus profesional jimat kos pengajian ke luar negara

GEORGETOWN: Kerajaan akan memperkenalkan dasar baru bagi mengatasi masalah pelajar terbaik yang tidak berpeluang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Dasar baru itu akan membabitkan pertambahan kursus profesional, termasuk perubatan di universiti tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu akan dapat menjimatkan kos penghantaran pelajar ke luar negara, selain dapat mengekalkan pelajar berbakat besar dalam negara.
Katanya, kerajaan yakin universiti tempatan mampu memberikan peluang pembelajaran yang setanding dengan negara luar kepada pelajar berkenaan.
“Mungkin dasar kita pada masa depan kita nak perbanyak kursus dalam negara termasuk kursus profesional seperti perubatan.

“Ada baiknya untuk tujuan mengekalkan bakat kita...anak kita yang bijak pandai ini patut belaja di dalam negara dan saya percaya universiti dalam negara juga setanding dan boleh sediakan kursus yang diperlukan termasuk dalam bidang perubatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas mengenai rungutan pelbagai berhubung pengagihan biasiswa JPA apabila ada pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang tidak mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak, menjelaskan semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 8A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira bangsa layak mendapat biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan di luar negara.

DI GRIK: Muhyiddin meminta rakyat bersedia untuk menanggung sebahagian kos subsidi bahan api yang dibiayai ketika ini jika jumlah subsidi sedia ada melonjak ke paras lebih tinggi dan melangkaui kemampuan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan lega apabila maklum balas menunjukkan rakyat memuji kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana prihatin terhadap beban rakyat dengan mengekalkan harga bahan api termasuk petrol RON95, namun keputusan itu menyebabkan beban subsidi ditanggung kerajaan melebar.

“Alhamdulillah, saya dapat banyak respon menyatakan kerajaan prihatin kerana jika (harga bahan api) dinaikkan, bebannya kepada (ditanggung) rakyat tetapi dengan sebab itu juga kerajaan terbeban dengan jumlah subsidi (ditanggung kerajaan) iaitu RM10 bilion naik sampai RM18 bilion dan mungkin menjangkau RM20 bilion,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Grik di Dewan Serbaguna Grik di sini.

Pada majlis itu beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO melancarkan Skuad Sayang Wanita UMNO bahagian dan sijil penghargaan kepada tokoh UMNO bahagian berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20