Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Wednesday, March 16, 2011

TPM tunggu pindaan Interlok

Panel bebas serahkan laporan terperinci tidak lama lagi: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

Pada masa sama, katanya, beliau membentangkan laporan itu kepada Kabinet dalam tempoh seminggu akan datang bagi mendapatkan kelulusan kerana isu berkenaan sampai ke tahap nasional.

“Kita belum ada apa-apa (keputusan), saya menunggu laporan panel bebas dan nampaknya ada kemajuan yang amat menggalakkan secara awalan (yang) dimaklumkan kepada saya.

“Perincian itu akan diserahkan kepada saya dalam tempoh beberapa hari akan datang dan selepas itu kita beri peluang kepada wakil masyarakat India untuk memaklumkan kepada pemimpin supaya apa yang diputuskan secara konsensus dapat diterima mereka,” katanya pada sidang media selepas menutup Program Anak Angkat 1Malaysia 2011 anjuran Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.

Kementerian Pelajaran sebelum ini menyatakan novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kerajaan bersetuju membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.

Mengenai program anak angkat itu, Muhyiddin berkata ia yang membabitkan penempatan pemimpin pelajar pelbagai kaum dari Tingkatan Empat, Lima dan Enam seluruh negara yang ditempatkan sebagai anak angkat di rumah pegawai kanan kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah selama enam hari bermula Khamis lalu.

Beliau berkata, pelajar seusia muda itu yang ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing akan memberi impak kepada persefahaman yang lebih mendalam mengenai kehidupan kaum di Malaysia walaupun pelbagai agama dan keturunan di bawah Gagasan 1Malaysia.

“Kita hendak supaya semangat persefahaman itu dapat dikembangkan untuk menghargai dalam perbezaan itu ada persamaan kerana ini amat baik di peringkat umur mereka yang masih muda ini, sebagai pemimpin mereka harus dapat memahami latar belakang, menghargai kelainan tetapi ada juga persamaan, ini keistimewaan Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20