Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Saturday, November 13, 2010

Muhyiddin ucap tahniah kepada pelajar cemerlang UPSR

KUALA LUMPUR: Sambil mengucapkan tahniah kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat keputusan cemerlang, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan mereka yang tidak berjaya supaya terus berusaha untuk masa depan.

"Saya ucap tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Saya amat bangga dengan anda dan saya pasti ahli keluarga, guru anda dan seluruh negara juga mempunyai perasaan yang sama.

"Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik, perjalanan masih jauh lagi. Ini baru permulaan bagi perjalanan yang masih jauh. Banyak lagi yang boleh dicapai dan moga kita berusaha lebih gigih pada masa depan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel hari ini.

Muhyiddin kini berada di Yokohama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) hingga Ahad ini.

Muhyiddin juga melahirkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru atas hasil kerja keras dan dedikasi mereka sehingga membawa kepada kejayaan itu.

"Kepada ibu bapa, saya ucap tahniah atas pencapaian anak-anak anda dan berharap usaha itu akan terus dijayakan bagi memberikan semangat dan sokongan yang diperlukan mereka.

"Bagi semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, saya percaya pencapaian anda akan menjadi contoh ikutan kepada yang lain. Saya harap anda akan terus gigih berusaha pada masa depan bagi mengekalkan kecemerlangan akademik anda dan menyumbang untuk pembangunan negara," katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus meningkatkan kualiti pendidikan dan keputusan UPSR yang baru dikeluarkan itu adalah testimoni jelas mengenai usaha menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua.

Seramai 48,327 calon UPSR mendapat keputusan cemerlang semua A tahun ini, meningkat 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus tahun lepas. - BERNAMA

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20