Saturday, September 18, 2010

Susu 1Malaysia sasar lahirkan generasi kuat, cerdas

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelancaran program Susu Sekolah 1Malaysia semalam amat penting bagi melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas.

Perdana Menteri berkata, terdapat sesetengah akhbar hari ini yang hanya menyiarkan tajuk dan berita mengenai program susu sekolah diperkenalkan semula tanpa memberikan keutamaan mengenai tujuan sebenar ia dilaksanakan.

''Ia sebenarnya mempunyai matlamat lebih besar berbanding apa yang disiarkan oleh akhbar iaitu melahirkan generasi muda Malaysia pada masa depan yang lebih dinamik dengan ciri-ciri yang saya telah sebutkan.

''Saya percaya ia akan memberi kesan yang besar kalau kita dapat mendidik setiap murid di sekolah rendah untuk membiasakan diri meminum susu yang mempunyai kalsium tinggi setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Hidup Bersama Dalam Masyarakat Berbilang Kaum anjuran Yayasan 1Malaysia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Najib melancarkan program Susu Sekolah 1Malaysia di Sandakan, Sabah yang pelaksanaannya akan dimulakan awal bulan depan melibatkan semua murid sekolah rendah.

Program susu ini akan melibatkan peruntukan sedia ada Kementerian Pelajaran kira-kira RM4 juta yang akan ditambah dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Najib berkata, susu terbabit akan dibekalkan oleh penternak di Sabah yang kini mampu mengeluarkan produk berkenaan dalam jumlah yang banyak.

''Sabah banyak mengeluarkan susu. Kita juga dapat membantu pengusaha dan penternak mendapat pendapatan lebih tinggi," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia