Saturday, September 25, 2010

270 juta kotak Susu 1Malaysia setahun

KOTA MARUDU: Seiring aspirasi membentuk generasi masa depan yang sihat dan cerdas, sejumlah 270 juta kotak Susu 1Malaysia akan diedarkan setahun kepada kira-kira tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah seluruh negara membabitkan peruntukan awal RM60 juta yang perlu dihabiskan hingga hujung tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata butiran berhubung kaedah penghasilan dan pengagihan bekalan berada pada tahap akhir perincian menjelang pelancarannya bulan depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di antara kementerian dengan Sabah International Dairy (SID) selaku pembekal utama Susu 1Malaysia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Seperti diarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita mahu menyegerakan projek ini. Kita ada peruntukan RM60 juta yang mesti diselesaikan hujung tahun ini, manakala untuk tahun depan kita akan membuat permohonan lain.

“Fokus utama ialah mencari penyelesaian bagaimana menguruskan agihan bekalan kerana kita tidak mahu kejadian lalu (bekalan susu tercemar) berulang. Kita akan ambil kira faktor logistik dan penyampaian, terutama bagaimana bekalan disimpan serta kaedah apa untuk guru di sekolah menguruskan bekalan.

“Kementerian juga mahu melihat adakah susu diminum separuh dan disimpan bakinya kerana cara itu boleh membuatkan bekalan tercemar. Kita nak pastikan semuanya dilaksanakan dengan betul,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Terdahulu, Muhyiddin melancarkan program ‘Cybersafe In School’ di SMK Tandek.

Projek Susu 1Malaysia diumumkan Perdana Menteri ketika menghadiri program Juara Rakyat peringkat Sabah di Sandakan, minggu lalu. Projek bekalan susu ke sekolah dihentikan kira-kira tiga tahun lalu berikutan masalah murid yang menerima bekalan susu tercemar yang mengakibatkan keracunan makanan.

Muhyiddin mengakui permintaan terhadap bekalan Susu 1Malaysia adalah lebih tinggi, iaitu 270 juta kotak setahun berbanding yang berupaya dihasilkan negeri ini dan kementerian akan berbincang dengan beberapa pihak lain yang boleh menampung permintaan itu.

Beliau turut mengumumkan peruntukan, masing-masing RM34 juta kepada SMK Bandau dan SMK Langkon di sini bagi pembinaan bangunan baru dilengkapi kemudahan sempurna selepas masing-masing selama ini menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan dan SK Langkon.

“Pelan reka bentuk SMK Bandau hampir siap, pembinaan akan dimulakan awal tahun depan dan perlu disiapkan awal 2013. Peruntukan bagi SMK Langkon tersenarai dalam fasa pertama bajet 2010 yang dibawa ke depan. Kita akan mula awal 2011 dan dijangka siap hujung 2013,” katanya.

Sabah mempunyai 27 sekolah menumpang di seluruh negeri dengan kebanyakannya berada di luar bandar dan pedalaman.

Ketika melancarkan program Cybersafe In School, Muhyiddin meminta masyarakat memastikan sumber maklumat yang diperoleh menerusi internet bagi mengelak penyebaran dari punca tidak sahih sehingga boleh memburukkan keadaan.

Katanya, kesedaran penggunaan internet secara positif juga perlu diterapkan kepada anak-anak dalam menjamin keselamatan mereka di alam siber kerana penyalahgunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) boleh mewujudkan persekitaran tidak sihat.

“Ini termasuk murid dan guru yang menggunakan internet bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kita berdepan cabaran besar di ruang siber. Kita juga perlu menangkis penggodam yang mensasarkan infrastruktur maklumat kritikal negara,” katanya.

Sumber : Berita Harian