Thursday, August 05, 2010

Gadis 14 tahun mula kelilingi dunia

DEN OSSE, Belanda – Seorang gadis Belanda, Laura Dekker berusia 14 tahun yang berhasrat menjadi manusia termuda belayar mengelilingi dunia secara solo memulakan pelayarannya semalam.

Remaja tersebut menyatakan, dia tidak gentar untuk melakukan pelayaran sukar itu.

Laura meninggalkan pelabuhan di sini, barat daya Belanda beberapa hari selepas memenangi kes mahkamah bagi meneruskan pelayaran selepas ditentang pelbagai pihak.

Sebelum ini pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak khuatir dia terlalu muda untuk pelayaran tersebut.

”Saya bukannya takut,” kata gadis berambut perang itu sambil tersenyum di hadapan kamera semasa mengemudi perahu layar sepanjang 11.5 meter dinamakan Ketch Guppy.

“Sebaliknya, saya sangat gembira,” tambahnya.

Sebagai permulaan, gadis itu akan membuat pelayaran percubaan menuju ke Portugal dengan ditemani bapanya, Dick.

Dekker menyatakan, dia akan melakukan yang terbaik untuk memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh seorang remaja perempuan Australia, Jessica Watson pada Mei lalu.

Jessica menamatkan pelayaran mengelilingi dunia beberapa hari sebelum dia menyambut hari jadi yang ke-17 tahun.– AFP

Sumber: Kosmo Online