Friday, April 30, 2010

Selamat Hari Pekerja

Pada 1 Mei setiap tahun, masyarakat dunia menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei 2010.
Di Malaysia kita mempunyai seramai lebih 11 juta tenaga pekerja dan tumpuan kebanyakan pekerja adalah di Lembah Klang iaitu di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang umumnya pesat membangun dan menyediakan peluang pekerjaan. Negeri Selangor telah menduduki tempat teratas dari segi penciptaan peluang pekerjaan baru bagi tahun 2008 dan 2009

Kita berdepan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu dari masa ke masa dan ia memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan. Ia bukan sekadar persoalan pekerjaan yang cetek, tetapi lebih penting ialah isu kehidupan manusia yang luas. Justeru, amat penting bagi mana-mana kerajaan untuk menilai semula semua dasar yang ada dan memikirkan dasar dan strategi yang sesuai untuk menangani pelbagai isu semasa dan pada masa akan datang.

Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan bahawa paras garis kemiskinan yang sesuai di negeri ini ialah pada kadar RM1,500 sebulan. Kerajaan Negeri Selangor juga menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk berusaha menggandakan gaji pekerja menjelang tahun 2020.

Bagi mengurangkan beban pekerja, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha memperkenalkan banyak program kebajikan untuk membolehkan rakyat dapat berkongsi kekayaan hasil negeri. Selain itu, dasar tadbir-urus yang baik, telus dan bertanggungjawab ditetapkan untuk memastikan ketirisan tidak berlaku dan memberi keyakinan kepada pelabur untuk berurusan. Pada tahun 2008 dan 2009, Kerajaan Negeri Selangor berjaya mendapatkan jumlah projek industri tertinggi di Malaysia dan menduduki tempat kedua dalam pelaburan modal. Kerajaan Negeri Selangor berada tangga kedua kerana Kerajaan Negeri Sarawak yang mendapat pelaburan modal sebanyak sekitar RM7 billion untuk projek tunggal pengekstrakan aluminium di Bintulu. Tanpanya, Kerajaan Negeri Selangor akan menduduki tempat teratas.

Dasar yang mesra pelaburan penting kerana program-program kebajikan tidak dapat dijalankan dengan lancar tanpa penjanaan pertumbuhan yang baik.

Kita wajar memberi penghargaan kepada para pekerja semua sektor kerana merekalah sebenarnya tunjang penggerak ekonomi negara. Kekayaan hasil bumi negara dan negeri harus dirakyatkan.

Sambil kerajaan berusaha mengkaji untuk memperkenalkan dasar yang sesuai untuk menjana pertumbuhan dan memperbanyakkan program kebajikan, para pekerja juga harus menunjukkan produktiviti kerja yang tinggi. Hanya dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing barulah peluang untuk kita melonjakkan taraf hidup yang baik dapat dicapai.

Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja kepada semua. Semoga masa depan kehidupan kita semua akan bertambah baik untuk manfaat bersama.

Sekian, terima kasih.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Sumber: Selangorkini Online