Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Friday, April 16, 2010

Sekolah elak H1N1 merebak

Ibu bapa dinasihat tidak panik, kementerian ambil langkah proaktif

PUTRAJAYA: Ibu bapa tidak perlu bimbang atau panik kerana langkah proaktif dan berjaga-jaga sentiasa diambil Kementerian Pelajaran di sekolah seluruh negara ekoran peningkatan jangkitan Influenza A (H1N1), kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, semua tindakan yang diambil itu adalah dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sentiasa membantu memberi khidmat kepakaran dalam menangani wabak H1N1 di sekolah.

Katanya, sekolah juga boleh membenarkan pelajar dijangkiti penyakit Influenza Like Illness (ILI) tidak hadir ke sekolah jika keadaan memerlukan dalam usaha membendung wabak H1N1 berikutan pertambahan kejadian kluster ILI di sekolah pada masa ini.

“Selain itu, sekolah juga boleh ditutup jika sesi persekolahan tidak dapat berfungsi dan pengasingan murid yang mempunyai gejala ILI perlu dilakukan bagi mengelak berlaku jangkitan.

“Bagaimanapun, tindakan penutupan sekolah hanya dilakukan sebagai pilihan terakhir dan di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran di setiap negeri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Alimuddin berkata, sehingga Selasa lalu, kes kluster ILI di laporkan di sekolah di Johor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Kementerian mengingatkan guru besar serta pengetua sekolah supaya menjalankan pemantauan setiap hari jika ada tanda penyakit seperti demam panas dan selsema di kalangan pelajar dan kakitangan sekolah.

"Jika terdapat tanda penyakit seperti itu, pengurusan sekolah perlu merujuk kes itu ke hospital dengan segera," katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20