Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Wednesday, April 14, 2010

Pelajar sembur cat, pecah cermin tepi kereta guru

Kejadian dipercayai ada kaitan dengan tindakan disiplin

PETALING JAYA: Sekumpulan pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Jalan Klang Lama di sini, menyembur cat ke atas sembilan kenderaan guru mereka dan memecahkan cermin tepi sebuah kereta, petang kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang di kawasan letak kereta berhampiran makmal sekolah dan kes berkenaan dipercayai ada kaitan dengan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap pelajar terbabit.

Pelajar terbabit dipercayai menggunakan cat kuning dan putih untuk menyembur belakang dan tepi kenderaan guru sesi petang itu, tanpa dapat dilihat pengawal atau guru sekolah.

Susulan kejadian itu, pentadbiran sekolah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya, pada petang sama.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari IPD Petaling Jaya dikatakan memasuki pekarangan sekolah berkenaan jam 5 petang bagi menjalankan siasatan, termasuk memeriksa kereta yang disembur cat dan cermin dipecahkan.

Difahamkan, perbuatan khianat itu disedari beberapa pelajar lain yang kemudian memaklumkannya kepada pengawal keselamatan dan guru sekolah terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pentadbir sekolah selepas kejadian disedari mereka.

Arjunaidi yang enggan mengulas lanjut berkata, siasatan terperinci sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti pelajar yang terbabit dalam kejadian itu.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca pelajar terbabit bertindak demikian. Kita juga akan mengambil keterangan daripada beberapa pelajar sekolah itu,” katanya.

Pengurusan sekolah difahamkan sudah mengenal pasti pelajar yang melakukan perbuatan itu dan tindakan terhadap mereka diambil mengikut prosedur ditetapkan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20