Sunday, April 11, 2010

2,600 pelajar kemahiran dibenar menduduki SPM

Pengetua tak berhak sekat murid ambil periksa: Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran membenarkan kira-kira 2,600 pelajar aliran kemahiran mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini walaupun pihak sekolah sebelum ini tidak mahu mendaftarkan mereka bagi menduduki peperiksaan itu.


Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua tidak berhak menyekat pelajar terbabit daripada menduduki peperiksaan itu dan mulai tahun depan pelajar aliran kemahiran dibenarkan mengambil SPM, hanya untuk subjek Bahasa Melayu sebagai syarat melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima.

Beliau berkata, tarikh pendaftaran bagi menduduki peperiksaan SPM untuk tahun ini sudah ditutup pada 31 Mac lalu, tetapi kementerian membuat keputusan membenarkan pendaftaran pelajar terbabit walaupun sedar ia akan memberi kesan kepada peratusan sekolah dan juga negeri terbabit.

"Pelajar aliran kemahiran ini minatnya adalah kemahiran dan kurang berminat terhadap akademik... mereka ini lebih berminat hendak mengambil sijil kemahiran, sekarang ini pada tahap tiga.


“Apa yang menjadi isu ialah jika mereka ingin mengambil sijil tahap lima sesetengah di institusi seperti Kementerian Sumber Manusia yang mensyaratkan mereka mesti lulus Bahasa Melayu.


"Jadi jika hendak ambil SPM, mereka kena ambil enam mata pelajaran sekurang-kurangnya. Tidak boleh ambil Bahasa Melayu saja, sedangkan pelajar ini tidak minat akademik. Jadi mereka akan datang periksa untuk satu kertas itu saja, lima lagi tidak akan datang dan menyebabkan prestasi sekolah menurun," katanya.

Bercakap kepada Berita Minggu, semalam, beliau berkata, situasi itu menyebabkan sesetengah sekolah tidak membenarkan pelajarnya mengambil peperiksaan itu dan mereka yang mahu berbuat demikian dikehendaki mendaftar sebagai calon persendirian yang tidak akan menjejaskan prestasi sekolah itu.

Katanya, tindakan itu menyebabkan segelintir ibu bapa tidak berpuas hati dan meluahkan perkara itu melalui laman sosial peribadinya sebelum menghantar surat membantah tindakan terbabit.


"Kementerian mencadangkan mulai tahun depan dengan persetujuan Lembaga Peperiksaan, kita akan benarkan pelajar aliran kemahiran untuk ambil satu mata pelajaran saja, jadi untuk tahun terakhir ini masih ada bantahan daripada orang ramai kerana ada sekolah tidak mahu mendaftarkan pelajarnya.


"Oleh kerana syarat yang ditetapkan oleh sesetengah institusi untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima perlu lulus Bahasa Melayu, jadi kita melaksanakan perkara ini dengan membenarkan pelajar aliran kemahiran ambil peperiksaan SPM bagi satu mata pelajaran saja," katanya.

Sumber: Berita Harian