Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Friday, November 13, 2009

Penyokong Prihatin

KELAB Penyokong Bola Sepak Kelantan semalam, melancarkan kempen 1Ringgit 1Kafa, iaitu tabung bagi mengutip sumbangan membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membayar denda RM50,000 dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran tingkah laku penyokongnya.

Setiausaha kelab, Harun Ali, berkata kempen terbabit adalah tanda sokongan peminat pasukan itu bagi meringankan beban kewangan Kafa yang terpaksa membayar denda berikutan insiden yang dicetuskan segelintir penyokong pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

"Kita akan mewujudkan 16 tabung diagihkan kepada kelab penyokong di seluruh Kelantan termasuk lima di Kota Bharu," katanya pada sidang media di Wisma Kafa, Kota Bharu.
Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata keputusan FAM mendenda Kafa sebanyak RM50,000 itu akan dibawanya dalam mesyuarat Majlis Kafa, minggu depan.

"Terpulang kepada Majlis Kafa untuk membuat keputusan kerana sebarang kenyataan akan dibuat selepas mendapat pandangan ahli Majlis," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kafa, Md Noor Yaacob, berharap FAM mengkaji semula denda yang dikenakan itu kerana ia memberi kesan kepada Kafa yang terpaksa menanggung beban denda berjumlah RM300,000 sepanjang aksi membabitkan saingan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

sumber: Berita Harian
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20