Monday, October 05, 2009

Waspada, H1N1 masih merebak

Influenza A(H1N1) masih aktif dan masih menular dalam komuniti, walaupun kes yang melibatkan penyakit itu semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin dan waspada serta terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan, seperti sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mengurangkan lawatan ke tempat-tempat awam
."Sejak akhir-akhir ini, ramai orang mungkin menyedari kejadian kes influenza A (H1N1) semakin berkurangan."Namun begitu, Kementerian Kesihatan ingin terus menegaskan bahawa penularan penyakit influenza A (H1N1) dalam komuniti masih berlaku dan masih aktif," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.Beliau berkata sehingga hari ini tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) didaftarkan menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang.Bagaimanapun menurut beliau seramai 123 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 106 kes telah dibenarkan keluar hari ini."Sehingga hari ini 743 kes ILI masih dirawat di seluruh negara dan 66 pesakit atau sembilan peratus daripada jumlah itu merupakan kes influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.
"Daripada 66 orang pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, 15 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk satu kes baru dan dua kes discaj hari ini," katanya lagi.Beliau berkata 13 daripada 15 kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah lima tahun (tujuh kes), penyakit kronik (tiga) dan obesiti (tiga)."Individu-individu yang berisiko tinggi termasuk kanak-kanak berumur kurang lima tahun, orang dewasa berumur 65 tahun ke atas, wanita hamil, pengidap penyakit kronik seperti asma, penyakit paru-paru yang kronik dan diabetes serta golongan dengan imuniti yang rendah, mesti mendapatkan rawatan dengan segera apabila mengalami sebarang simptom ILI," kata Dr Ismail.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai jangkitan influenza A(H1N1) melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta menerusi laman web Kementerian Kesihatan iaitu di http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. BERNAMA