Saturday, August 01, 2009

Tarikh Peperiksaan Awam Ikut Jadual


SEREMBAN: Tarikh peperiksaan awam tahun ini tetap kekal seperti dijadualkan walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran di beberapa sekolah terjejas akibat ditutup berikutan penularan virus Influenza A (H1N1). Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata jika terdapat keperluan dan keadaan terdesak, kementerian mungkin menangguhkannya tetapi untuk sementara waktu, jadual ditetapkan masih kekal. “Kita belum sampai hingga ke peringkat itu (menangguhkannya) dan perbincangan mengenainya juga belum dibuat. Lagipun, hanya beberapa sekolah ditutup selama seminggu sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan virus itu.


Bagaimanapun, pengurusan sekolah dikehendaki menggantikannya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan modal RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Hillside, Labu dekat sini, semalam.


Mohd Puad mengulas penutupan beberapa sekolah di seluruh negara berikutan segelintir pelajarnya positif dijangkiti virus H1N1 yang menyebabkan ibu bapa bimbang mengenai persediaan anak masing-masing menghadapi peperiksaan awam.

Mengikut jadual, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ditetapkan pada 8 hingga 10 September ini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 19 November hingga 16 Disember manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 18 November hingga 10 Disember.


Sumber: Berita Harian