Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Tuesday, July 21, 2009

Transformasi UPSR

SHAH ALAM: Kerajaan belum membuat keputusan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaliknya, Muhyiddin berkata UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingannya. “Mungkin kepentingannya dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus.
Yang lain akan ambil kira mata pelajaran Sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan.“Transformasi akan dilakukan terhadap UPSR dengan memasukkan elemen lain seperti mata pelajaran Sejarah sebagai kayu pengukur bagi menilai prestasi murid,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim yang mencadangkan supaya UPSR yang tidak lagi relevan pada masa ini dimansuhkan.
Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilaporkan berkata, UPSR perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid dalam semua mata pelajaran.Beliau berkata, peperiksaan itu sebaliknya menjadi medium persaingan murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan kepada lima mata pelajaran.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya sedang mengambil pendekatan baru dari segi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi apa yang dipanggil sistem berasaskan sekolah, yang sedang disusun kementeriannya.“Kita nak melaksanakan umpamanya bagaimana nak mengelakkan sistem pelajaran kita terlalu berorientasikan peperiksaan...Kita nak melihat pendekatan secara lebih seimbang,” katanya sambil menambah akan mengambil kira pandangan Razali mengenai isu UPSR.
Sementara itu, Muhyiddin juga mengucapkan takziah dan simpati kepada rakyat Indonesia serta mangsa warganegara yang terkorban dan tercedera dalam tragedi pengeboman di dua hotel di Jakarta, Ritz Carlton dan JW Marriot, baru-baru ini.Katanya kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi tidak membiarkan keganasan seumpama itu berlaku, lebih-lebih lagi yang mengorbankan nyawa.Beliau berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan republik itu dalam mengatasi isu berkenaan.
Sumber: Harian Metro
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20