Saturday, July 11, 2009

Guru diarah terus guna dwibahasa dalam kelas

KUALA LUMPUR: Guru diarah terus menggunakan bahasa Inggeris atau dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih berkuat kuasa sehingga 2012. Arahan berkenaan dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kerana sudah ada guru yang menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan PPSMI mulai 2012. Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling berhubung perubahan itu mulai minggu depan.


"Kerajaan sudah mengumumkannya dan dilaporkan secara meluas menerusi media. Tidak tidak ada alasan untuk mengajar murid menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya dalam mata pelajaran berkenaan. "PPSMI masih sah dan pengajaran perlu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris atau dwibahasa seperti sebelum ini. Tidak adil jika guru melaksanakan pengajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya kerana PPSMI masih relevan," katanya semalam.


Tinjauan Berita Harian ke beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam mendapati ada guru sudah menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya mengajar subjek Sains dan Matematik. Mereka berbuat demikian dengan alasan kerajaan sudah mengembalikan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan ibu bapa kerana anak mereka sudah memulakan PPSMI sejak tahun satu.


Seorang guru berkata, beliau menggunakan bahasa Malaysia kerana sebahagian besar murid lebih mudah memahami sesuatu topik jika diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Alimuddin berkata, pihaknya akan menerangkan perkara itu secara terperinci menerusi Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai perubahan dasar PPSMI bagi mengelakkan berlaku kekeliruan hingga menjejaskan proses pembelajaran murid.


Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, berkata langkah itu selaras pendekatan 'soft landing' kementerian untuk mengembalikan sepenuhnya PPSMI ke dalam bahasa Malaysia. "Soalan dan jawapan dwi- bahasa akan dikekalkan dalam semua peperiksaan utama sehingga 2012, untuk berlaku adil kepada pelajar termasuk yang belajar menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. "Tidak perlu timbul isu kita menghentikan PPSMI mulai tahun depan seperti dituntut beberapa pihak kerana walaupun pemberhentian sepenuhnya berkuat kuasa 2012, kita tahu ada guru sudah mengambil inisiatif kembali mengajar dalam bahasa Malaysia," kata pada majlis bertemu pendidik sekitar Mukim Temalir pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai semalam.


Sumber: Berita Harian