Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Thursday, November 13, 2008

Klip video ‘Sajak Kematian’ tak sesuai




PUTRAJAYA: Penggunaan klip video bertajuk ‘Sajak Kematian’ di sekolah yang menimbulkan bantahan daripada ibu bapa tidak membawa faedah kepada pelajar, sebaliknya boleh menakut-nakutkan mereka.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penggunaan kilp video seperti itu amat tidak sesuai memandang usia pelajar terbabit yang masih terlalu muda.

“Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak yang usianya cukup muda. Saya rasa ia tidak akan membawa manfaat,” katanya selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar Asean (ASEP) 2008 di Sekolah Sultan Alam Shah di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.


Beliau diminta mengulas laporan media mengenai penggunaan klip video ‘Sajak Kematian’ di sekolah yang dilaporkan media baru-baru ini.

Klip video selama 10 minit 48 saat itu antara lain memaparkan babak mayat yang sudah dikafankan berdepan dengan seekor ular.

Berikutan itu, ibu bapa bimbang akidah anak mereka akan terjejas apabila menyaksikan gambaran mengenai perkara di alam ghaib.

Menurut Hishammuddin, sebuah jawatankuasa khas mengenai yuran sekolah akan ditubuhkan dengan beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa itu akan meneliti semua perkara berkaitan penggal persekolahan baru tahun depan, termasuk isu yuran, jadual waktu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas timbul salah faham berkaitan yuran pada penggal persekolahan tahun ini.

“Saya memberi jaminan, masalah yuran tidak akan timbul pada penggal persekolahan akan datang,” katanya.
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20