Thursday, October 09, 2008

Selamat kembali ke sekolah

SUDAH pasti pada ketika ini, murid-murid telah puas bercuti dan menyambut hari raya bersama keluarga . Sekarang tiba masanya untuk kembali ke sekolah menimba ilmu demi masa depan. Mungkin ada juga yang masih tidak bersedia atau masih tercari-cari apakah tindakan yang harus dilakukan. Berikut disediakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan sekembalinya murid-murid ke musim persekolahan.

1• Menyemak semula perkara-perkara atau topik-topik yang bermasalah/tertinggal untuk diulang kaji
Murid perlu menyenaraikan semula topik yang bermasalah atau yang tertinggal untuk diulang kaji bersendirian atau mendapat bantuan guru. Ia dapat dilakukan dengan cara perbincangan dengan rakan atau guru di waktu yang terluang.

2• Pemahaman pada topik yang bermasalah.
Setelah bertanya pada guru, murid seharusnya membuat semula nota dan latihan bagi memastikan pemahaman sepenuhnya. Cara ini dapat mengelakkan daripada anda terus mengalami kesukaran apabila topik baru diperkenalkan nanti. Jika ini berlarutan perasaan bosan akan timbul di jiwa murid-murid.

3• Bersedia dengan topik baru
Murid perlu mengambil langkah awal dengan belajar dahulu di rumah sebelum pembelajaran berlaku di kelas. Ini dapat memudahkan pemahaman serta mengalakkan murid memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran.

4• Membuat jadual harian
Jadual harian membantu murid-murid merancangan masa dengan bijak. Memandangkan peperiksaan telah hampir tiba, maka anda harus memaksimakan penggunaan masa yang dijadualkan. Oleh itu jadual lama harus digantikan dengan jadual baru yang lebih terarah pada peperiksaan seperti memberi ruang masa yang banyak pada latihan.

5• Kata-kata semangat.
Murid-murid juga boleh menampal kata-kata semangat yang dicipta sendiri seperti “5A Idaman Saya”, “Saya Pasti Boleh” “Setiap Usaha ada Kejayaan” dan sebagainya untuk memberi perangsang pada diri kita sendiri dalam proses menempuh peperiksaan.
Diharapkan murid-murid dapat mengamalkan apa yang telah dibaca di atas. Selamat berjaya!