Perjalanan Beribu Batu Bermula dengan langkah pertama

Tuesday, October 21, 2008

Sejarah Wajib Untuk Sekolah Rendah


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan supaya Sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah untuk memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah negara.
Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu juga, Kementerian Pelajaran perlu menjadikan pengajaran mata pelajaran Sejarah sebagai sebuah subjek yang menarik dan bukan dianggap pelajar sebagai sesuatu yang membosankan.
"Pada masa yang sama, kurikulum sejarah yang diajar sekarang perlu sentiasa diperkemas dan diperkasakan untuk memastikan ia dapat memenuhi perkembangan semasa.
"Sejarah sangat penting kerana ia menjadikan anak-anak kita, walaupun mereka menjadi jurutera atau doktor, tetap menjadi seorang rakyat yang sangat memahami sejarah tanah air, bangsa dan pengorbanan pemimpin," katanya.
Abdullah berkata demikian ketika berucap merasmikan ibu pejabat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang dikenali sebagai Wisma Sejarah di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Presiden PSM, Datuk Omar Mohd. Hashim.
Pada majlis itu, Abdullah turut melancarkan buku bertajuk The Malay Civilization yang ditulis oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSM, Mohd. Arof Ishak.
Sementara itu, Abdullah berkata, secara keseluruhan adalah penting para pelajar dipastikan tidak hanya menjurus kepada sesuatu aliran sama ada sains atau sastera.
Sebaliknya, beliau berkata, para pelajar perlu dipastikan mengambil mata pelajaran yang mencakupi kedua-dua aliran agar mereka mampu menjadi pelajar yang seimbang dari setiap segi.
"Paling tidak setiap pelajar perlu mengambil dua mata pelajaran yang bukan tergolong dalam aliran mereka kerana ini penting untuk memastikan sistem pendidikan kita mampu melahirkan generasi yang komprehensif.
"Ini adalah satu cara yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat," jelasnya.
Pada masa yang sama, Abdullah turut menyeru bekas pegawai kerajaan khususnya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) supaya membukukan segala pengalaman yang dilalui mereka sewaktu dalam perkhidmatan.
Menurutnya, adalah merugikan sekiranya pengalaman yang pada seseorang PTD itu hanya kekal berada dalam ingatan mereka sedangkan PTD boleh disifatkan sebagai perakam sejarah pembangunan negara.
"Dengan adanya buku tentang pengalaman sejarah perkembangan negara oleh bekas-bekas pegawai kerajaan ia mampu memberikan tafsiran daripada kaca mata rakyat kita sendiri,'' ujarnya.
Share:

Copyright © Catatan Chegukapon | Powered by Blogger

Design by ThemePacific | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | Distributed By Blogger Templates20